Tuesday, July 15, 2008

ULAMA' SAFF PERTAMA DALAM GERAKAN ISLAM


KUANTAN, 7 Julai (Hrkh) - Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Saleh Sani Harun berkata, ulama adalah institusi penting di dalam gerakan Islam yang berfungsi memandu pergerakan itu.

Katanya, walaupun Dewan Ulama didakwa lemah, daif dan sebagainya tetapi peranannya tidak boleh ambil alih oleh intitusi lain.

Dewan Ulama ini juga katanya, ditakuti musuh buktinya anggota dewan ulama ini sentiasa dicemburui dan disekat pihak berkuasa daripada menyampaikan kuliah, mengajar agama dengan bebas di masjid dan surau.

"Walaupun Dewan Ulama didakwa lemah, daif dan sebagainya tetapi peranannya tidak pula diambil oleh institusi lain, di sebalik kritikan-kritikan itu Dewan Ulama sentiasa dicemburui dan disekat daripada menyampaikan kuliah dimasjid dan surau,"katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama Kali ke-18, di Pusat Tarbiyah PAS Kawasan Inderamahkota (Putra) dekat sini.

Menurutnya, kekuatan Islam bergantung kepada kekuatan ulama di mana-mana sahaja pelusuk dunia justeru peranan ulama disempitkan dan kekang supaya ajaran Islam yang disampaikan ulama tidak dapat berkembang.

Ulama juga katanya, adalah pemimpin kepada gerakan Islam dan dihormati oleh masyarakat sebagi pewaris para nabi.

Justeru, anggota dewan ulama tidaklah perlu merasa tertekan dengan kritikan-kritikan dalaman, sebaliknya meneruskan kerja dengan ikhlas dan jujur untuk menyelamatkan akidah masyarakat daripada pelbagai ancaman.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PS Pahang, Ustaz Abu Kassim Manaf yang berucap sebelum itu berkata antara cabaran yang dihadapi Dewan Ulama ialah mengembalikan sokongan orang Islam kepada perjuangan Islam.

Katanya, dalam pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini dapat dilihat bagaimana trend sokongan orang Melayu terhadap Parti Islam merosot di Pahang, walaupun Pakatan Rakyat (PR) menang di beberapa negeri.

Menurut Abu Kassim, pelaksanaan syariah di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat masih lagi jauh dan ia menjadi cabaran kepada ulama meskipun pentadbiran di negeri-negeri berkenaan bertambah baik jika dibandingkan dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Abu Kassim menjelaskan Dewan Ulama tidak mempunyai ahli yang ramai sebagaimana dua dewan lain di dalam PAS iaitu dewan Muslimat dan Pemuda.

Katanya, di seluruh negeri Pahang Dewan Ulama hanya mempunyai lebih kurang 100 orang ahli berdaftar.

Pada Muktamar itu Dewan Ulama meluluskan usul menyokong apa sahaja pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu tuduhan liwat membabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Usul tergempar dibawa oleh wakil dari Maran itu disokong dengan undi majoriti selepas dibahaskan para perwakilan.

No comments:

Post a Comment

-= Terima kasih atas komentar anda =-