Monday, February 16, 2009

Mauidzah dari MURSYIDUL AM


Ribuan manusia menghadiri ceramah anjuran PAS Wilayah Persekutuan tersebut. Ucapan Tok Guru ringkas, tepat, padat dan cukup menarik. Beliau berucap lebih kurang 30 minit sahaja. Dalam ucapan seringkas 30 minit, beliau mengulas juga pergolakan politik di Perak. Antara yang diulas ialah isu MB Perak derhaka kepada Sultan. Menurutnya media membesarkan isu derhaka kepada Sultan, pada hal semua manusia adalah sama di sisi ALLAH SWT YANG MERUPAKAN RAJA SEGALA RAJA, manusia yang bergelar rakyat apabila tidak mengerjakan suruhan Allah, dia akan berdosa. Manusia yang bergelar raja mahupun sultan juga berdosa, tidak ada keistimewaan di sisi ALLAH SWT baik rakyat mahupun raja dalam soal yang berkaitan dengan syariat. Kewajipan tetap sama, larangan tetap juga sama. Raja sekalipun kalau minum arak, berjudi, berzina tetap berdosa dan wajib dikenakan hukuman yang setimpal berdasarkan syariat.

Di dalam Islam , sesama manusia derhaka ini hanya wujud antara anak terhadap kedua orang tuanya dan isteri terhadap suaminya. UMNO bising isu MB derhaka kepada Sultan, tetapi dalam masa yang sama bahkan sejak UMNO wujud lagi, ia sudah derhaka kepada ALLAH SWT dan berterusan kederhakaannya kepada ALLAH SWT. UMNO derhaka kepada ALLAH SWT kerana menolak syariat, menolak Islam, menolak hukum hudud dan sebagainya. Perlakuan derhaka ini diperlihatkan melalui pertuturan dan perlakuan oleh pemimpin-pemimpin mereka, juga melalui dasar dan polisi yang ditentukan oleh mereka bagi menolak perlaksanaan syariat Islam.

Adakah Hj Nizar derhaka hanya kerana tidak mahu meletakkan jawatan, sebaliknya mahu keadilan ditegakkan dan menghormati Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Dalam menghadapi kemelut politik di Perak apabila Kerajaan Pakatan Rakyat tidak lagi stabil, Hj Nizar sebagai Menteri Besar lebih cenderung memberi kepercayaan dan mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang baru melalui proses pilihanraya. Pilihanraya hanya boleh berlaku setelah DUN dibubarkan.

Justeru itu, jangan dibesarkan isu MB Perak derhaka pada Sultan, lebih baik kita bicarakan bagaimana besarnya dosa manusia tidak kira Sultan, Menteri, Kerajaan atau sesiapa sahaja yang derhaka kepada ALLAH SWT. Kita betulkan pemimpin-pemimpin yang tidak solat, tidak puasa, tidak tunaikan zakat, berjudi, minum arak, berzina, lawan syariat Islam dan sebagainya. Cara yang paling berkesan untuk membetulkan mereka ialah dengan menjatuhkan kuasa politik yang ada mereka, di atas kejatuhan kuasa politik itu, kita dirikan dan tegakkan keadilan berdasarkan prinsip Islam yang sejagat.

Saturday, February 7, 2009

IMAN DAN GAZA,DIMAN KITA?


ikhwan

Gaza mengalir darah dijasadnya. Siapakah yang akan menyelamatkannya ?

Penjajah mengebom berbagai institusi awam, masjid, tempat tinggal dan tanah pertanian menggunakan pesawat perang F-16. Ini berlaku setelah kepungan dan sekatan keperluan asas dikenakan ke atas Gaza hampir genap 4 tahun (sejak 25.1.2005).Serangan mengejut pertama mensasarkan 40 tempat yang berbagai turut mengorbankan seorang Mesir di sempadan. Diantara yang syahid ialah salah seorang pemimpin tertinggi HAMAS di Gaza, Dr. Nizar Rayyan, professor ilmu hadis di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Gaza bersama berbelas isteri, ahli keluarga dan jirannya.



Professor Nizar Rayyan bersama 14 ahli keluarganya berkecai syahid bila rumah mereka dibom jet F-16 Yahudi. “Dari kalangan orang-orang beriman, ada mereka yang benar dengan apa yang mereka telah berjanji dengan Allah. Sebahagian mereka telah syahid. Sebahagian lagi masih menunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah janji mereka” (maksud Al-Quran).



Dari pengamatan dan kefahaman saya terhadap putar belit politik antarabangsa, serangan ini bersempena perubahan kepimpinan di Amerika yang akan diambilalih oleh Barack Obama dan Parti Demokrat serta Pilihanraya Umum Israel terutamanya dan lain-lain perkembangan. Di dalam Israel, keputusan mengorbankan beberapa ratus atau ribu orang Palestin bakal menonjolkan kepahlawanan calon-calon pilihanraya di depan para pengundi Yahudi. Di Amerika pula, Israel yang menguasai politik Amerika melalui agensi-agensi lobinya seperti AIPAC, media massa, institusi kewangan dll ingin menekankan bahawa siapa dan parti apa sahaja yang memimpin Amerika, majlis keraian berupa hidangan jenazah rakyat Palestin adalah suatu yang mesti, tidak perlu disangkal bahkan mesti disokong dan didokong. Saya masih ingat, apabila George Bush II menang pilihanraya Presiden 8 tahun lalu, sebaik keputusan terakhir Pilihanraya diumumkan, arahan pertamanya ialah jet pejuang Amerika mengebom beberapa sasaran di Iraq. Pilunya, serangan jet-jet pejuang di atas mengambil tempat tembakan meriam perayaan hari kebesaran pertukaran kepimpinan, tapi yang disasarkan ialah nyawa umat Islam yang tidak berdosa lagi dijajah kehormatan dan kedaulatannya.



bom-f16

Setiap kali musim pilihanraya dan perubahan kepimpinan di Israel dan Amerika, umat Islam di Timur Tengah akan dibedil dan dikorbankan.



Disebalik sebak dan kegusaran bahawa kempen serangan ini telah mengorbankan ratusan nyawa dan mungkin akan memuncak, namun dari iman dan semangat HAMAS dan umat Palestin serta petunjuk ayat-ayat Allah swt, dilubuk hati saya tergambar kemenangan Islam yang semakin tiba, tidak dapat disangkal lagi. Walaupun Gaza hari ini kehilangan ratusan nyawa, namun ia adalah “aza” (kesakitan) dijasad ummah, seperti luka di lengan, sedang seluruh tubuh badan seorang yang dulunya sakit dan tidur, kini telah celik, sedar dan mula bangkit dari lamunannya. Ya, umat ini sedang bangkit, akan berperanan, bertarung, menang dan memimpin muka bumi ini sekali lagi, walau orang-orang kafir tidak menyukainya.



Firman Allah swt, “Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka. Allah enggan, sebaliknya akan menyempurnakan cahayaNya walau orang-orang kafir membencinya. Dialah (Tuhan) yang telah mengutus Rasul dengan petunju dan Agama yang benar, agar Dia memenangkan Agama itu mengatasi sekelian agama dan sistem semuanya, walau orang-orang musyrik membencinya.” (Al-Quran).



Kepada sekelian Ikhwah dan Akhawat di Gaza, jangan menyerah dan perputus asa lantaran serangan, pembunuhan dari musuh dilaknat Allah itu, dan lantaran ketidakpedulian kerajaan-kerajaan Arab dan Islam hari ini melainkan ucapan kering yang tidak bermatlamatkan Jihad membebaskan Palestin, hanya melunakkan hati bakal para pengundi mereka di pilihanraya-pilihanraya akan datang. Ketahuilah bahawa musuh-musuh ALlah sekali-kali tidak akan dapat memusnahkan umat Islam. Bila berdepan dengan tentera Allah, mereka tetap akan dikalahkan akan dikalahkan dipusingan terakhir.



“Mereka tidak akan memudharatkan kamu melainkan “aza” (kesakitan). Sekiranya mereka memerangi kamu, mereka akan cabut lari ke belakang, kemudian mereka tidak dimenangkan” (maksud Al-Quran). “Ketahuilah sesungguhnya parti Allah, mereka lah yang akan menang” (maksud Al-Quran)…… “Ketahuilah, sesungguhnya parti Syaitan, merekalah yang akan kerugian” (maksud Al-Quran).



Gaza adalah hujah Allah swt kepada umat Abad 21, bahawa Iman di hati 1.5 juta umat boleh berdepan dengan 5 juta Yahudi lengkap bersenjata menyerang dan mengepung, 300 juta rakyat Amerika, 400 juta rakyat Eropah, 250 juta rakyat Rusia yang mendokong dan berbilion umat dunia yang kufur dan musyrik, walau 1 bilion saudara seIslam mereka leka dan lena. Masa telah lama tiba untuk umat Islam menilai Iman, penghayatan Islam, kesatuan Ukhuwwah, kepimpinan Khilafah dan semangat Jihad mereka.



Allahu Akbar ! Walillahil Hamd !